Menara Berkembar Petronas
Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat yang turut dikenali dengan nama KLCC merupakan menara berkembar tertinggi di dunia.
Diinspirasi dari bentuk geometri yang ditemui dalam senibina Islam, bangunan mega ini direka oleh arkitek berbangsa Argentina-Amerika, Cesar Pelli.
Terhampar di sebelah bangunan mega ini ialah taman cantik dan luas yang diberi nama Taman KLCC.
Tarikan lain di KLCC ialah Kompleks Beli-Belah Suria, Dewan Philharmonic Petronas, Petrosains, Galeri Seni Petronas dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di mana terletaknya Aquaria Oceanarium.
Panduan Perjalanan
Berjalan Kaki atau Menaiki Teksi
Menara Berkembar Petronas terletak di antara Jalan Ampang dan Jalan Raja Chulan. Ia bersebelahan dengan Hotel Mandarin Oriental dan di hadapan Ascott.
Transit Aliran Ringan (LRT)
Stesen KLCC melalui laluan LRT PUTRA.
Bangunan Sultan Abdul Samad
Bangunan ikon Sultan Abdul Samad terletak di hadapan Dataran Merdeka dan Kelab Diraja Selangor, di sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman.
Ia siap dibina pada tahun 1897 oleh A.C. Norman. Semasa pentadbiran British di Malaya, ia telah digunakan untuk menempatkan beberapa jabatan kerajaan.
Pada hari ini, bangunan bersejarah ini menempatkan Mahkamah Agung dan Mahkamah Tinggi. Bangunan ini unik kerana reka bentuk Moorish dan menara jamnya pula menjadi paparan fotografi ramai pelawat yang datang ke sini.
Pada acara penting, bangunan ini dihias dengan lampu dan bendera yang berwarna-warni. Dataran Merdeka yang bersejarah, di mana bendera Union diturunkan dan bendera Malaya dinaikkan buat pertama kalinya pada 31 Ogos 1957, berada di seberang jalan berhadapan bangunan Sultan Abdul Samad.
Panduan Perjalanan
Transit Aliran Ringan (LRT)
Mercu tanda terkemuka ini menghadap Dataran Merdeka, dan mudah untuk sampai ke sini. Naiki LRT Putra dan berhenti di Pasar Seni atau Masjid Jamek. Anda boleh bertanya arah untuk ke tempat ini.
Jalan Tuanku Abdul Rahman
Jalan Tuanku Abdul Rahman, juga dikenali sebagai Jalan TAR, adalah 'grande dame' bagi aktiviti membeli-belah di KL sebelum kompleks membeli-belah moden membanjiri bandar metropolitan ini.
Barisan jalan yang diapit oleh bangunan-bangunan pra-peperangan lama yang telah dipelihara dan disesuaikan semula untuk digunakan untuk tujuan perniagaan moden. Di sini, anda boleh berjalan melalui gerbang-gerbang kedai untuk satu pengalaman membeli-belah dan kebudayaan dari beberapa dekad lalu.
Banyak kedai yang terkenal seperti G.S. Gill, P. Lal dan P.H. Henry memilih untuk kekal di sini apabila kedai lain berpindah. Kedai-kedai di sini menawarkan pelbagai jenis fabrik dan tekstil, barangan kulit import, beg dan bagasi, karpet, barangan sukan dan pakaian musim sejuk.
Lorong-lorong kecil antara kedai menawarkan pelbagai jenis pilihan pakaian dengan harga tawaran yang memuaskan. Jenama terkenal menawarkan koleksi barangan perak dan kristal. Kompleks Membeli-belah Sogo dan Maju Junction Mall juga terletak di sepanjang jalan ini.
Setiap hari Sabtu antara pukul 5 petang hingga 10 malam, Lorong Tuanku Abdul Rahman ditutup untuk laluan trafik dan bertukar menjadi satu pasar malam, di mana penjaja dan penjual kecil-kecilan menjual pelbagai jenis barangan secara terbuka. Berjalan-jalan di sana cukup memberikan satu pengalaman menarik, dan ia juga merupakan tempat yang sesuai untuk membeli pakaian harian, produk tempata, serta masakan tempatan.
Panduan Perjalanan
Menaiki Teksi
Bahagian paling sibuk bagi Jalan Tuanku Abdul Rahman adalah di antara Jalan Tun Perak (Dataran Merdeka) dan Jalan Sultan Ismail. Tempat yang baik untuk anda berhenti adalah di Kompleks Membeli-belah Sogo.
Transit Aliran Ringan (LRT)
Stesen Bandaraya di aliran STAR adalah di Jalan Raja Laut, yang selari dengan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Atau, anda boleh turun di Masjid Jamek (kedua-dua STAR dan PUTRA), berjalan kaki menuju ke 'Little India' dan berjalan melepasi lorong ke Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Taman Botani Perdana
Taman Botani Perdana atau lebih dikenali dengan nama lamanya, Taman Tasik merupakan taman tertua dan paling popular di Kuala Lumpur. Ia terletak di pinggir bandar dan pernah menjadi kawasan penempatan rumah mewah golongan kaya British sewaktu zaman penjajahan.
Hari ini, dengan kawasan berbukit dan laluan denai yang disediakan, ia menjadi kawasan riadah bagi mereka yang datang untuk berjoging atau bersenam tai chi di waktu pagi. Tarikan utama di taman ini ialah tasik yang dikelilingi oleh pohon-pohon hijau di tanah seluas 92 hektar (227 ekar) yang memberikan suasana segar.
Berjalan-jalan sambil melihat burung dan rama-rama di Taman Burung dan Taman Rama-Rama. Atau berjalan-jalan melawat Taman Rusa dan Taman Orkid yang mudah untuk dikunjungi sama ada dengan berjalan kaki atau dengan menaiki bas ulang-alik biasa. Dari taman-taman ini, anda juga boleh melawat tempat-tempat menarik lain seperti Tugu Negara, Planetarium dan Muziun Kesenian Islam
Panduan Perjalanan
Menaiki Teksi
Pintu masuk ke Taman Botani Perdana melalui Jalan Parlimen dan belakang Masjid Negara.
Masjid Negara
Kubah utama Masjid Negara direka dengan bentuk bintang berbucu 18 yang melambangkan 13 buah negeri dalam Malaysia dan lima prinsip Rukun Islam. Ia kelihatan seperti bumbung payung dengan sedikit bukaan yang mewakili simbol aspirasi dan negara merdeka.
Sebagai salah sebuah masjid terbesar di Asia Tenggara, senibina berciri moden dan unik merangkumi gabungan kesenian tradisional Islam, kaligrafi dan perhiasan.
Masjid Negara terletak bersebelahan dengan bangunan stesen kereta api lama yang berukir cantik dan mengambil masa singkat untuk sampai ke Taman Tasik dan Tugu Negara. Jika anda masih bertenaga, apa kata anda berjalan kaki sambil melawat tempat-tempat menarik ini.
Panduan Perjalanan
Menaiki Teksi
Tugu Negara terletak berdekatan dengan Taman Tasik dan bersebelahan dengan Jalan Parlimen.
0 comments: